KHUTBAH JUMAAT 8 MEI 2026 - BELIA RAKAN MASJID - MEMBINA DIRI, MENGANGKAT UMMAH
Tarikh: 06 Mei 2026 · Khutbah Jumaat
Teks khutbah rasmi dalam Bahasa Melayu (tulisan Rumi), diambil daripada PDF e-Khutbah JAKIM.
اَلْحَمْد ُ لِلّٰه ِ الْقَآئِل : أَعُوذ ُ بِالله ِ مِن َ الشَّيْطَان ِ الرَّجِيم الكهف [ 13 ] َّ أَشْهَد ُ أَن ْ لَا إِله َ إِلَّا الله ُ وَحْدَه ُ لَا شَر ِيك َ لَهُ، وَأَشْهَد ُ أَن َسَيدنا ِمُحَمَّدًا عَبْدُه ُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُم َّ صَل ِ وَسَلِم ْ عَلَى نَبِيِنَا مُحَمَّد ٍ وَعَلَى آلِه ِ وَصَحْب َّه ِ وَمَن ْ دَعَا بِدَعْوَتِه ِ إِلَى يَوْم ِ الدِينِ. أَم ا بَعْدُ، فَيَا عِبَاد َ اللهِ، َ اتَّقُوا اللهَ، أُوصِيكُم ْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى الله ِ وَطَاعَتِه ِ لَعَل َّكُم ْ تُفْلِحُون Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Khatib mengingatkan diri sendiri dan sidang jemaah sekalian agar terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Ketahuilah bahawa antara tanda ketakwaan ialah apabila seseorang melihat usia mudanya sebagai amanah, masanya sebagai tanggungjawab dan kehidupannya sebagai medan untuk membina masa depan yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Pada hari yang penuh barakah ini, mimbar ingin mengajak sidang jemaah menghayati satu realiti besar dalam membina generasi masa depan melalui tajuk “Belia Rakan Masjid: Membina Diri, Mengangkat Ummah”.
Sidang Jemaah yang dimuliakan, Pernahkah kita merenung sejenak, ke manakah arah generasi muda kita hari ini? Apakah yang sedang membentuk cara mereka berfikir, menentukan pilihan hidup mereka dan mencorakkan masa depan mereka? Hakikatnya, Malaysia hari ini mempunyai sekitar 9 juta belia atau hampir satu pertiga daripada jumlah penduduk negara. Ini bukan sekadar angka, tetapi satu amanah besar yang akan menentukan kekuatan masa depan ummah dan negara. Dalam masa yang sama, kita sedang hidup dalam satu zaman yang berubah dengan sangat pantas. Dunia berkembang, teknologi melangkaui sempadan dan cara hidup manusia berubah dalam sekelip mata. Generasi muda hari ini membesar dalam dunia yang sentiasa bergerak, dunia yang penuh pilihan, penuh pengaruh dan penuh cabaran. Hampir keseluruhan masyarakat kini berada dalam talian dan media sosial menjadi sebahagian daripada kehidupan harian. Apa yang dilihat setiap hari membentuk cara berfikir, dan apa yang diulang-ulang akhirnya membentuk arah kehidupan. Namun dalam semua peluang yang terbuka ini, ada satu hakikat yang jarang kita renungkan, tentang kehidupan belia hari ini bukan lagi kekurangan peluang, tetapi dipenuhi dengan gangguan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia. Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Jika dahulu cabaran manusia adalah kekurangan maklumat, hari ini cabarannya ialah lambakan maklumat tanpa sempadan. Jika dahulu manusia mencari hiburan, hari ini hiburan mencari manusia. Jika dahulu manusia mengawal perhatian, hari ini perhatian manusia yang dikawal. Inilah yang boleh disebut sebagai krisis perhatian. Perhatian yang sepatutnya difokuskan kepada ilmu, ibadah dan tanggungjawab, kini terpecah kepada perkara yang tidak memberi nilai. Masa berlalu tanpa disedari, fokus semakin lemah dan disiplin semakin terhakis. Akhirnya manusia hidup sibuk, tetapi tidak membina apa-apa. Dalam menghadapi realiti ini, al-Quran telah lama memberikan pedoman melalui kisah generasi muda yang unggul. Firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ayat 13 yang dibacakan khatib di awal tadi yang bermaksud:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” Pemuda Ashabul Kahfi hidup dalam suasana yang penuh tekanan dan kekeliruan, namun mereka memilih untuk berpegang kepada kebenaran. Mereka tidak membiarkan suasana menentukan arah hidup mereka, tetapi iman yang menentukan pilihan mereka. Inilah kekuatan sebenar belia, bukan pada kebebasan memilih semata-mata, tetapi pada kemampuan memilih yang benar. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Dalam dunia yang penuh gangguan ini, persoalan besar bukan sekadar apa yang dilihat oleh belia, tetapi apa yang membentuk jiwa mereka. Di sinilah pentingnya masjid sebagai institusi membina manusia. Masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi tempat membina arah kehidupan. Masjid mendidik jiwa untuk tunduk kepada Allah, melatih disiplin melalui waktu solat dan membina kesedaran bahawa hidup ini mempunyai tujuan. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” Ayat ini menjelaskan bahawa hubungan dengan masjid adalah tanda hubungan dengan Allah. Dan daripada hubungan inilah lahir kekuatan jiwa, kejelasan arah dan keteguhan prinsip. Belia rakan masjid bukan sekadar hadir ke masjid, tetapi belia yang dibentuk di dalamnya. Mereka belajar mengurus masa, menjaga solat, mengawal diri dan memelihara adab. Daripada proses ini lahir satu nilai yang sangat penting dalam kehidupan, iaitu amanah. Amanah bukan hanya pada jawatan besar. Amanah bermula daripada perkara kecil yang sering dipandang ringan. Mengurus masa dengan baik adalah amanah. Mengawal diri daripada
perkara yang melalaikan adalah amanah. Menyempurnakan tugasan dengan jujur adalah amanah. Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Hari ini kita menyaksikan bahawa pengkhianatan amanah tidak semestinya berlaku dalam perkara besar. Ia sering bermula daripada perkara kecil yang berulang-ulang. Masa dihabiskan tanpa tujuan, tanggungjawab dilengah- lengahkan, fokus terganggu dan disiplin semakin longgar. Semua ini mungkin kelihatan kecil, tetapi akhirnya menghakis keberkatan dalam kehidupan. Al-Quran memberi peringatan bahawa perkara dunia boleh melalaikan manusia daripada mengingati Allah. Maka dalam dunia yang penuh dengan media sosial, hiburan dan keseronokan tanpa batas, kita perlu kembali kepada pedoman yang jelas. Solusi yang ditawarkan oleh al-Quran bukanlah meninggalkan dunia, tetapi mengawal diri dalam dunia. Kembalilah kepada zikrullah, kembalilah kepada solat dan kembalilah kepada masjid. Di situlah jiwa akan dibina semula, fokus akan diperbetulkan dan arah kehidupan akan dipandu dengan iman. Umat tidak akan lemah kerana kurang teknologi, tetapi akan lemah apabila hilang fokus dan arah. Umat tidak akan jatuh kerana kekurangan peluang, tetapi akan jatuh apabila gagal memanfaatkan masa dan ruang. Dari masjid lahir iman. Dari iman lahir disiplin. Dari disiplin lahir amanah. Dan daripada amanah itulah akan terangkatnya ummah. Sebagai iktibar daripada khutbah hari ini, khatib simpulkan: Pertama: Belia merupakan aset utama yang menentukan masa depan ummah dan negara. Kedua: Cabaran dunia digital dan hiburan telah mewujudkan krisis perhatian yang menguji fokus dan disiplin belia. Ketiga: Masjid berperanan sebagai institusi penting dalam membina jati diri, disiplin dan amanah dalam kehidupan.
Keempat: Belia yang terbina dengan iman dan amanah akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.. Sempena Hari Belia, marilah kita bersama-sama mendidik diri dan generasi muda agar sentiasa dekat dengan masjid, menjaga solat dan memelihara amanah dalam kehidupan. Sesungguhnya generasi muda hari ini adalah amanah besar yang akan menentukan masa depan ummah. Didiklah mereka dengan iman, bimbinglah mereka dengan ilmu dan peliharalah mereka daripada kelalaian. Belia yang menjaga arah hidupnya, akan membina masa depan ummahnya. Dan belia yang dekat dengan masjid, tidak akan mudah hilang arah dalam kehidupan. ْ بَارَك َ الله ُ لِي ْ وَل َكُم ْ بِالْقُرْآن ِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي ْ وَإِيَّاكُم ْ بِمَا فِيْه ِ مِن َ ال َِكْر ِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلآيَات ِ وَالذ َ مِنِي ْ وَمِنْكُم ْ تِلَاوَتَه ُ إِنَّه ُ هُو َ السَّمِيْع ُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْل ُ قَوْلِي ْ هَذَا وَأَسْتَغْفِر ُ الله َ الْعَظِيْم ِلِي ْ وَل َكُم ْ وَلِسَائِر ْ الْمُسْلِمِيْن َ وَالْمُسْلِمَات ِ وَالْمُؤْمِنِيْن َ وَالْمُؤ ُمِنَات ِ الْأَحْيَاء ِ مِنْهُم ْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْه ُ إِنَّه ُ هُو َ الْغَفُوْر الرَّحِيْمُ.
Khutbah Kedua
ِ اَلْحَمْد ُ لِلَّه َرَب ِ الْعَالَمِين ِ، وَالصَّلَاة ُ وَالسَّلَام ُ عَلى َ سَيِدِنَا مُحَمَّد ِن َالنَّبِي ِ الْأَمِينِ، وَعَلَى آلِه ِ وَأَصْحَابِه ِ الطَّاهِرِين وَمَن ْ تَبِعَهُم ْ بِإِحْسَان ٍ إِلَى يَوْم ِ الدِينِ. ْ أَشْهَد ُ أَن ُلَا إِله َ إِلا َّ الله وَحْدَه ُ لا َ شَر ِيْك َ لَهُ، وَأَشْهَد ُ أن َّ سَيِدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُه ُ وَرَسُولُهُ. أَمَّاَبَعْدُ، فَيَا عِبَاد َ اللهِ، اِتَّقُوا الله ِحَق َّ تُقَاتِه َِكُم ْ بِالصَّلَاةَكُم ْ بِأَمْر ٍ عَظِيمٍ، أَمَروَاعْلَمُوا أَن َّ الله َ أَمَر َ وَالتَّسْلِيم ِ عَلَى ن ِبِيِه ِ ال ْكَرِيم ، فَقَال َ الله ُ تَعَالَى: اَللَّهُم َّ صَل ِ عَلَى سَيِدِنَا مُحَمَّد ٍ وَعَلَى آ ل ِ سَيِدِنَا مُحَمَّد ٍ كَمَا صَلَّيْت َ عَلَى سَيِدِنَا إِبْرَاهِيْم َ وَعَلَى آ ل ِ سَيِدِنَا إِبْرَاهِيْم َ وَبَارِك ْ عَلَى سَيِدِنَا مُحَمَّد ٍ وَعَلَى آ ل ِ سَيِدِنَا مُحَمَّد ٍ كَمَا بَارَكْت َ عَلَى سَيِدِنَا إِبْرَاهِيْم َ وَعَلَى آ ل ِ سَيِدِنَا ِ إِبْرَاه يْم َ فِي الْعَالَمِيْن َ إِنَّك َ حَمِيْد ٌ مَجِيْدٌ. َ وَارْض َ اللَّهُم َّ عَن ِ الْخُلَفَاء ِ الرَّاشِدِين َ و ِعَن ْ بَقِيَّة الصَّحَابَة ِ أَجْمَعِينَ، َوَعَن ِ التَّابِعِين َ وَتَابِعِي التَّابِعِين ِ وَمَن ْ تَبِعَهُم ْ بِإِحْسَان ٍ إِلَى يَوْم ِ الدِيْن وَارْض َ عَنَّا مَعَهُم ْ يَا أَكْرَم َ الْأَكْرَمِينَ. اللَّهُم َّ اغْفِر ْ لِلْمُسْلِمِين َ وَالْمُسْلِمَات ِ وَالْمُؤْمِنِين َ وَالْمُؤْمِنَات ِ الْأَحْيَاء ِ مِنْهُم ْ وَالْأَمْوَاتِ. َّ اللَّهُم َّ أَيِد ْ بِدَوَام ِ التَّوْفِيْق ِ وَالْهِدَايَة ِ وَالصِحَّة ِ وَالس لَامَة ِ جَلَالَة َ مَل ِك ِ نَا ك باوه دولي يڠ مها موليا سري ڤدوك بڬيندا يڠ د - ڤرتوان اڬوڠ سُلْطَان إِبْرَاهِيم. ْ وَكَذلِك َ ك باوه دولي يڠ مها موليا سري ڤدوك بڬيندا راج ڤرمايسوري اڬوڠ، راج زَارِيث صُوفِيَاهْ.
ُ اللَّهُم َّ احْفَظ ْ عُلَمَاءَه َوَوُزَرَاءَه ُ وَقُضَاتَه ُ وَعُمَّالَه ُ وَرَعَايَاه ُ مِن َ الْمُؤْمِنِين َ وَالْمُؤْمِنَات ِ بِرَحْمَتِك َ يَا أَرْحَم الرَّاحِمِينَ. اللَّهُم َّ اجْعَل ْ بَلَدَنَا مَالِيزِيَا َآمِنا ً مُطْمَئِنًّا، سَخَاء ً رَخَاءً، دَار َ عَدْل ٍ وَإِيمَانٍ، وَأَمْن ٍ وَأَمَانٍ، و ِسَائِر َ بِلَاد ال ْ مُسْلِمِينَ. اللَّهُم َّ أَعِز َّ الْإِسْلَام َ وَالْمُسْلِمِيْنَ، َو انْصُر ْ إِخْوَانَنَا فِي فِلَسْطِين، ْوَدَمِر ْ أَعْدَاءَك َ أَعْدَاء َ الدِين ِ وانْصُر ْ مَن ِ نَصَر َ الدِينَ، وَاخْذُل ْ مَن ْ خَذَل َ الْمُسْلِمِيْنَ، وَأَعْل كَلِمَتَك َ إِلَى يَوْم ِ الدِيْنِ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الْآخِرَة ِ حَسَنَة ً وَقِنَا عَذَاب َ النَّارِ. عِبَاد َ اللهِ، ْكُرُوافَاذ ْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوه ُ عَلَىالله َ الْعَظِيْم َ يَذ ِِكْر ُ اللهنِعَمِه ِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوه ُ مِن ْ فَضْلِه ِ يُعْطِكُم ْ وَلَذ أَكْبَرُ، وَالله ُ يَعْلَم ُ مَا تَصْنَعُونَ.
Muat turun PDF rasmi
Untuk cetakan atau edisi Jawi, muat turun terus dari laman rasmi JAKIM.
© Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dikongsi dengan atribusi; sentiasa sahkan dengan PDF rasmi.
Ringkasan pendidikan — sahkan dengan JAKIM/i-Fiqh untuk fatwa rasmi.